“Sebagai mantan Presiden ULK 2021/2022, saya sangat bangga dengan pencapaian rakan-rakan mahasiswa ULK di dalam FESENI kali ini. Biar pun bukan di kalangan kelompok teratas, namun yang lebih penting, penyertaan kami ini membuka mata banyak pihak mengenai kewujudan ULK yang sentiasa menjuarai kebajikan mahasiswa yang menginap di luar kampus,” kata Mashitah Ab. Razak, pelajar tahun akhir TESL dari Fakulti Pendidikan ini, yang ditemui sejurus tamatnya Malam Juara-juara FESENI di Dewan Tunku Canselor, malam tadi.
Mashitah turut berkongsi kesyukurannya di atas pencapaian ULK di SUKMUM sebelum ini, yang berjaya merangkul tempat kedua keseluruhan, di belakang kolej kediaman gergasi, Kolej Kediaman Raja Dr. Nazrin Shah (KK12). “Paling manis, saya turut mengambil bahagian di dalam beberapa acara, biar pun saya bukanlah seorang atlit. Niat saya hanya satu: untuk membakar semangat rakan-rakan lain untuk sama-sama mengambil bahagian, dan meletakkan ULK di dalam peta ekosistem kemenjadian pelajar di kampus tertua negara ini,” kata anak jati Johor Bahru ini dengan penuh semangat.
Untuk rekod, Sukan Mahasiswa Universiti Malaya (SUKMUM) dan Festival Seni (FESENI) sesi 2022/2023 ini merupakan kali pertama diadakan selepas terhenti selama lebih 2 tahun akibat pandemik COVID-19. Kedua-dua pertandingan ini merupakan anjuran Jabatan Hal Ehwal Pelajar dengan kerjasama Pusat Sukan dan Fakulti Seni Kreatif.
“Saya yakin, dengan momentum ini, satu hari nanti ULK bakal bergelar johan SUKMUM dan FESENI pada tahun yang sama, sebagaimana yang telah dilakukan oleh KK12 pada sesi 2018/2019,” kata penggemar laksa ini, sambil tersenyum manis.
Gambar oleh Mohd. Fazli Zainordin untuk CCC, diambil pada tahun 2022. Teks oleh penulis gantian, sementara menanti kepulangan penulis sebenar.