Kuala Lumpur, 8 Julai 2025 — Pusat Penyelidikan Bioteknologi Glami Lemi (PPBGL), yang terletak kira-kira 90 kilometer dari kampus utama Universiti Malaya di Kuala Lumpur, baru-baru ini telah mencipta sejarah dalam bidang penyelidikan reproduktif haiwan. Pusat ini telah berjaya menjalankan prosedur In Vitro Fertilization (IVF) terhadap oosit dan sperma baka kambing Barbados Blackbelly buat pertama kalinya di Universiti Malaya dan juga dipercayai yang pertama di negara ini


PPBGL merupakan sebuah pusat penyelidikan yang menyediakan kemudahan lengkap untuk penyelidikan, pengajaran, dan latihan dalam bidang bioteknologi pertanian termasuk tanaman, penternakan haiwan, dan akuakultur. Terletak di Negeri Sembilan dalam daerah Jelebu, PPBGL memiliki keluasan lebih kurang 150 ekar yang merangkumi tanah pertanian, bangunan utama, tasik, dan dikelilingi oleh kehijauan dan kekayaan biodiversiti hutan Negeri Sembilan. Pusat ini juga dilengkapi dengan kemudahan penginapan, asrama, bilik seminar, makmal penyelidikan, dan lain-lain untuk menyokong aktiviti penyelidikan dan latihan.

Keberhasilan prosedur IVF ini dicapai sempena penganjuran Bengkel Pemantapan dan Pemindahan Kepakaran Teknologi Embrio yang berlangsung dari 1 hingga 3 Julai 2025. Kejayaan ini menandakan pencapaian pertama Universiti Malaya dalam menjalankan prosedur IVF bagi baka Barbados Blackbelly dan meletakkan PPBGL sebagai pusat penyelidikan terkemuka dalam penyelidikan embrio ternakan khususnya haiwan ruminan.


Pihak PPBGL juga merakamkan penghargaan kepada penaja utama, Innervate Tech Sdn Bhd, serta rakan kolaborasi daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Sembilan. Selain itu, ucapan terima kasih juga ditujukan kepada para peserta dari industri seperti Colla Cattle (M) Sdn Bhd, Aliyah Rizq Farm, Yenher Agro dan lain-lain atas sokongan mereka.

PPBGL terus berkomitmen untuk memajukan bidang penyelidikan bioteknologi pertanian demi menyokong pembangunan sektor pertanian dan penternakan negara.

Sumber oleh: Pusat Penyelidikan Bioteknologi Glami Lemi (PPBGL)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *